APLIKASI MODEL KURIKULUM TYLER KE ARAH MEMBINA PENGALAMAN PEMBELAJARAN DALAM KALANGAN PELAJAR.

OBJEKTIF

Objektif yang dinyatakan oleh Tyler dalam modelnya bermaksud matlamat yang hendak dicapai oleh guru terhadap pelajarnya dan di dalam proses pengajaran dan pembelajaran seorang guru akan menetapkan matlamat dan objektif yang diperoleh di akhir sesuatu pembelajaran yang dilaksanakan. Beliau juga menyatakan bahawa dalam usaha mencapai objektif, seorang pendidik harus memastikan objektif pelajaran yang dipilih selaras dengan keperluan pelajar di samping isi kandungan yang sesuai dengan keperluan masyarakat. 

Ciri objektif yang jelas dan baik pula haruslah realistik dan sejajar dengan aras kebolehan serta minat pelajar. Contohnya, untuk merangka suatu pengajaran yang bersistematik, Dokumen Standard Prestasi dan Dokumen Standard Kurikulum haruslah menjadi rujukan utama. Selain itu, dalam menentukan objektif terdapat beberapa pertimbangan yang harus diambil kira seperti penglibatan pelajar (audience) , peringkat boleh diukur (behavior) , keadaan (condition) dan tingkat prestasi pelajar (degree).



KANDUNGAN

Kandungan kursus merupakan aras kedua dalam pembentukan kurikulum Model Tyler. Kandungan kursus yang mantap mestilah berdasarkan pemilihan dan perancangan pembelajaran oleh pendidik. Dalam memilih kandungan, menuntut kreativiti yang mendalam seseorang pendidik. 

  Perancang kurikulum harus mengambilkira aspek pengalaman sedia ada pelajar dan untuk mencapai objektif yang telah ditetapkan, penyusunan bahan kurikulum harus disusun mengikut unit-unit pembelajaran dari aras mudah ke aras yang lebih kompleks. Hal ini bertujuan untuk menghasilkan penerimaan pengajaran yang seoptimanya daripada seorang pendidik kepada seorang murid. Seterusnya, dalam penyusunan kandungan pula, Tyler telah menyarankan tiga prinsip utama yang perlu dijadikan dasar iaitu prinsip kesinambungan, prinsip ketertiban dan prinsip kesepaduan.

   Prinsip kesinambungan berdasarkan Model Tyler bermaksud peningkatan ilmu, kemahiran dan nilai yang perlu dikuasai oleh seseorang pelajar sejajar dengan pertumbuhan fizikal dan mental pelajar dan seiring dengan peningkatan umur mereka. Hal ini demikian kerana menurut Tyler, kesinambungan perlu ada dari peringkat asas sehinggalah pelajar menguasai dan menggunakan ilmu dan kemahiran tersebut ke peringkat yang lebih tinggi.

    Selain itu, prinsip ketertiban pula memberi pengertian bahawa pelajaran yang diterima haruslah berterusan dan berturutan. Ini bermakna, pengalaman pelajaran yang diterima melalui kemahiran dan nilai yang diterapkan merentasi waktu dan prinsip ini memberikan peluang kepada seseorang pelajar mendalami dan meluaskan ilmu yang telah dipelajarinya ke suatu peringkat yang lebih tinggi. 

    Prinsip kesepaduan pula bermakna pengalaman yang diperoleh oleh seorang pelajar yang dapat dihubungi kaitkan antara satu ilmu atau kemahiran yang lain sehingga menampakkan keberkesanan dan bersifat holistik.

 


KAEDAH 

Kaedah dalam model Tyler pula berfokus kepada pemilihan set-set dan kaedah pengajaran yang dipilih oleh seorang guru. Hal ini kerana pemilihan kaedah pengajaran merupakan suatu perkara yang penting kerana pemilihan kaedah yang bersesuaian dengan isi kandungan yang disampaikan akan membawa kesan terbaik kepada pembelajaran pelajar. Contoh kaedah yang dilaksanakan adalah dengan cara pemilihan buku-buku rujukan yang sesuai dengan perkara yang hendak diajar. Inisiatif ini dilihat dapat membantu proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih menarik sehingga dapat memberikan impak yang terbaik kepada sistem mengajar.


PENILAIAN 

Aras keempat dalam Model Tyler adalah penilaian. Untuk melihat kesan ketercapaian objektif dan matlamat kurikulum sama ada berjaya atau sebaliknya, maka penilaian akan dilaksanakan bagi memastikan perkara yang dilakukan dapat dikenal pasti keberkesanannya. Penilaian ini boleh dilaksanakan dengan pelbagai kaedah dan peringkat bagi mendapatkan pembuktian keberkesanan pembelajaran dan pencapaian objektif yang telah ditetapkan. 

Penilaian yang biasanya dilakukan ialah penilaian secara formatif atau sumatif. Penilaian formatif merupakan penilaian secara berterusan yang dilakukan selepas selesai sesuatu sesi pengajaran dan pembelajaran manakala penilaian sumatif ialah penilaian akhir tahun seperti peperiksaan akhir tahun dan peperiksaan umum seperti Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Penambahbaikan kurikulum pula akan dilakukan secara berterusan melalui kaedah penilaian sumatif




Comments

Popular posts from this blog