ANALISIS REKA BENTUK KURIKULUM, POLA KURIKULUM DAN ORIENTASI KURIKULUM YANG DILAKSANAKAN DALAM KURIKULUM KEBANGSAAN


PENGENALAN

Kurikulum adalah teras kepada pembentukan generasi baharu sesebuah negara. Kejayaan dan kemajuan sesebuah negara tersebut diukur dengan tahap pencapaian dan pemikiran generasi muda mereka. Oleh itu, kurikulum yang mendorong pelajar bersifat aktif dalam menceburi pelbagai bidang serta berpikiran kreatif dan kritis perlu dirangka sesebuah kerajaan demi melahirkan generasi pemimpin. Menurut Ralph Tyler (1949) Reka bentuk Kurikulum didefinisaikan sebagai suatu prosedur alternatif dalam merangka, menerapkan dan menilai suatu kurikulum.

         Reka bentuk kurikulum di Malaysia diasaskan berdasarkan empat orientasi dan empat pola interaksi di mana empat orientasi tersebut adalah meliputi akademik, elektik, pelajar dan komuniti manakala pola interaksi melibatkan elemen perencanaan, misi, tindakan dan hasil. Kurikulum Kebangsaan juga dibina menggunakan model kurikulum yang diutarakan oleh Ralph Tyler pada tahun 1949 yang menghubungkan antara matlamat, pengisian, tatacara dan penilaian secara linear. Demi mewujudkan kurikulum yang berkesan, pengorganisasian kurikulum Malaysia mendukung 5 prinsip yang disusun dalam 2 dimensi iaitu dimensi menegak dan mendatar. Prinsip yang terdapat dalam dimensi menegak adalah prinsip turutan dan kesinambungan manakala prinsip yang terdapat dalam dimensi mendatar ialah prinsip integrasi, imbangan dan skop.

 

TEORI – TEORI MENDASARI REKA BENTUK KURIKULUM KEBANGSAAN

         Untuk membina kurikulum yang bersepadu dan menyeluruh, terdapat empat cabang ilmu yang menjadi asas dalam pembinaan Kurikulum Kebangsaan iaitu Ilmu Falsafah, Ilmu Psikologi, Ilmu Sosiologi Dan Ilmu Teknologi. Ilmu Falsafah menekankan teori hakikat atau kenyataan, ilmu dan nilai – nilai murni manakala Ilmu Psikologi adalah berkenaan teori pembelajaran dan inspirasi. Di samping itu, Ilmu Sosiologi menerapkan teori bersosial di dalam sekolah dan dalam kalangan anggota masyarakat manakala Ilmu Teknologi lebih menekankan kepada teori sistem komunikasi dan maklumat. Keempat – empat gabungan ilmu ini melahirkan Teori Kurikulum iaitu Teori Disiplin Mental, Teori Saintifik, Teori Fungsi dan Teori Berasaskan Sekolah yang akhirnya diterapkan dan menjadi asas kepada Reka bentuk Kurikulum Kebangsaan.

 

TOKOH – TOKOH PELOPOR MODEL KURIKULUM

Model Tyler, yang dibangunkan oleh Ralph Tyler pada tahun 1940-an, adalah prototaip utama pembangunan kurikulum dalam pendekatan saintifik. Pada asalnya, Tyler tidak bercadang untuk menyumbang kepada asas pembentukan model kurikulum. Beliau hanya menulis idea-ideanya dalam buku Prinsip Asas Kurikulum dan Arahan supaya pelajarnya dapat menggambarkan idea tentang prinsip untuk membuat kurikulum. Namun, disebabkan oleh Model Tyler ini sangat cemerlang, makai ia dianggap sebagai model pertama kurikulum yang terdiri daripada empat asas iaitu:  Penentuan tujuan sekolah (Objektif), Mengenal pasti pengalaman pendidikan yang berkaitan dengan tujuan, Penyusunan pengalaman dan Penilaian tujuan.



Hilda Taba ialah pengasas Model Pembangunan Kurikulum Taba pada tahun 1962 dan ditulis di dalam bukunya iaitu Pembangunan Kurikulum: Teori dan Praktis. Taba berfikiran bahawa terdapat susunan yang spesifik yang perlu dituruti dalam mewujudkan kurikulum. Model ini dibangunkan bertujuan untuk meningkatkan kemahiran berfikir pelajar. Beliau percaya bahawa pendidik perlu mengesan dan mengetahui keperluan pelajar dalam sistem pembelajaran supaya Proses Pengajaran dan Pembelajaran khusus untuk pelajar mereka dapat diwujudkan. Pendidik harus mengamalkan pendekatan pengajaran induktif iaitu daripada ilmu khusus kepada ilmu umum dan bukannya pendekatan deduktif tradisional, bermula daripada ilmu umum seterusnya membawa kepada pembinaan ilmu khusus. Taba mengasaskan Model Bawah Atas (Down – Top Model) atau Pendekatan Akar Umbi (Grassroot Approach). Taba mengatakan bahawa pembangunan kurikulum perlulah mengikut proses yang sistematik dan rasional serta lebih banyak maklumat dalam semua fasa pembangunan kurikulum perlu dikumpulkan demi merangka kurikulum yang berkesan. Idea utama model ini ialah pelajar menjadi teras utama dalam kurikulum dan guru mesti terlibat dalam pembangunan kurikulum. Beliau juga mengemukakan pendapat bahawa perlunya ada proses untuk menilai pencapaian kandungan pelajar selepas standard kandungan pembelajaran telah diwujudkan dan dilaksanakan.


Model Kurikulum Sternhouse yang diasaskan oleh Lawrence Stenhouse pada 1975 di dalam bukunya Pengenalan kepada Penyelidikan dan Pembangunan Kurikulum menganggap kurikulum sebagai elemen transformasi yang berkuasa dalam pengajaran. Model ini, lebih menekankan peranan pendidik di mana pendidik perlu menyelidik dan merancang berdasarkan pengalaman sendiri untuk mereka kurikulum yang berkesan untuk para pelajar. Model ini menggabungkan konsep ideologi, sosio-antropologi, pedagogi, epistemologi dan psikologi dalam menentukan objektif yang harus dicapai dalam proses pengajaran. Stenhouse berpendapat bahawa kurikulum adalah proses pembentukan insan yang memenuhi keperluan semasa masyarakat. Visi, pengetahuan, peranan pendidik dan proses pendidikan perlu disebatikan untuk mencipta kurikulum yang jitu dan ampuh. Dalam pengertian ini, Stenhouse mencadangkan bahawa pendidik menjadi teras dalam penghuraian dan pelaksanaan kurikulum. Setiap pendidik harus mengetahui perubahan yang ingin diketengahkan dalam diri pelajar mereka seterusnya memutuskan proses pembelajaran yang efektif untuk merealisasikan perubahan tersebut. Oleh itu, kajian dan penyiasatan dalam amalan pengajaran haruslah sentiasa dijalankan secara berterusan agar kurikulum yang direka tidak ketinggalan zaman dan mampu melahirkan individu yang sesuai dengan pasaran semasa.


Robert S. Zais adalah tokoh yang memperkenalkan Model Kurikulum Zais pada tahun 1976. Ia menekankan pembaharuan kurikulum yang perlu dilakukan oleh sejumlah pendidik dan sekolah secara berorganisasi. Setiap staf pengajar boleh untuk bekerja secara berkumpulan atau secara individu untuk mewujudkan kurikulum yang dirasakan bersesuain dengan pelajar. Model ini terdiri daripada empat pasang komponen dan asas yang saling berkaitan iaitu:

Asas pembinaan Kurikulum:

1. Epistomologi

2. Masyarakat dan budaya

3. Pelajar

4. Teori pembelajaran


Komponen pembinaan Kurikulum:

1. Matlamat dan Objektif

2. Isi kandungan pembelajaran

3. Aktiviti pembelajaran dan pengajaran

4. Penilaian


ORIENTASI REKA BENTUK KURIKULUM



   Reka bentuk Kurikulum Kebangsaan adalah berdasarkan empat orientasi yang saling melengkapi antara satu sama lain. Orientasi kurikulum pertama adalah Kurikulum yang Berpaksikan Murid. Kurikulum jenis ini lebih banyak memfokuskan kepada perkembangan kendiri setiap murid maka proses pembelajaran yang dijalankan adalah lebih menjurus kepada minat pelajar tersebut. Orientasi kurikulum ini menekankan kegiatan dan aktiviti yang mampu untuk membina pengalaman pelajar untuk mengasah bakat pelajar di dalam bidang yang diminati serta menghubungkaitkan aktiviti tersebut dengan kehidupan di dunia sebenar agar pelajar tersebut dapat menetapkan sendiri keperluan dan tujuan mereka mempelajari sesuatu perkara tersebut. Di samping itu, orientasi kurikulum ini mampu membina modal insan yang cemerlang kerana ia bersifat terbuka kepada pelajar untuk melibatkan diri mereka dalam membentuk kurikulum. Oleh itu, setiap bakat dan kebolehan pelajar mampu dimaksimalkan sebelum mereka masuk ke dalam dunia sebenar yang penuh dengan pancaroba. Misalnya, perkara ini dapat dilihat dalam pembentukan kurikulum sekolah – sekolah sukan dan seni yang lebih mengetengahkan sifat keterbukaan supaya para pelajar dapat memilih dan menentukan hala tuju diri masing – masing.

      Dalam pada itu, Kurikulum berpusatkan akademik juga merupakan salah satu orientasi utama dalam membina Kurikulum Kebangsaan. Kurikulum ini menekankan proses mengingat dan memahami setiap perkara yang dipelajari. Hal ini demikian, ia lebih menjurus kepada subjek dan pengetahuan yang diajar dengan berpusatkan isi kandungan dan terpisah- pisah mengikut topik.. Hal ini bersangkut paut dengan Pendidikan Vertikal di mana pelajar akan diajar adalah berdasarkan tahap kesukaran, bermula dari perkara mudah dan beransur – ansur menjadi sukar dan Pendidikan Horizontal yang mana pelajar mampu menghubungkaitkan setiap cabang dalam disiplin ilmu. Justifikasinya adalah reka bentuk kurikulum yang direka memuatkan pelbagai mata pelajaran serta perkaitan antara satu mata pelajaran dengan mata pelajaran lain.

Pada waktu yang sama orientasi kurikulum berasaskan masyarakat menekankan penggunaan kemampuan intelektual pelajar untuk menganalisis dan menginterpretasi setiap data seterusnya bertindak secara rasional dalam menyelesaikan setiap permasalahan yang timbul ketika bersosial di dunia luar. Kurikulum ini berasaskan kepada keamanan dan kemakmuran kepada masyarakat dengan mendorong pelajar mempunyai pemikiran bahawa manusia setiap manusia tidak sempurna dan konflik mampu timbul dari arah yang tidak disangka – sangka. Isi kurikulum ini lebih bersifat penyelesaian masalah social dan masalh persekitaran yang mampu dikaitkan dengan Pendidikan Vertikal iaitu kemahiran menyelesai masalah dengan menggunakan setiap ilmu dan data yang telah dianalisis. Ia juga berkait dengan Pendidikan Horizontal iaitu keupayaan pelajar berfikiran kreatif dan kritis dalam menyelesaikan setiap masalah. Kurikulum ini melatih pelajar untuk menyelesaikan masalah di sekeliling pelajar dengan mengaplikasikan setiap subjek dan ilmu yang telah dipelajari. Sesi pengajaran adalah bersifat PBL iaitu pengajaran menggunakan pendekatan penyelesaian masalah. Contoh kurikulum orientasi ini adalah aktiviti – aktiviti kemasyarakatan yang dianjurkan oleh tenaga pengajar bersama komuniti di persekitaran yang boleh disertai oleh pelajar. Di samping dapat merapatkan ukhuwah sesama manusia, pelajar juga dapat memperhatikan cara – cara untuk menyelesaikan permasalah di dalam masyarakat dengan bimbingan tenaga pengajar.

Akhirnya, orientasi kurikulum yang terhasil daripada gabungan ketiga – tiga orientasi yang telah dinyatakan adalah Kurikulum Elektik yang menekankan aspek minat pelajar, keupayaan pelajar menerima dan mengingat setiap data dengan tepat dan keupayaan pelajar dalam menyelesaikan setiap permasalahan yang berlaku di sekeliling mereka berdasarkan ilmu yang telah dipelajari. Kurikulum ini bertujuan untuk melahirkan pelajar yang berilmu dan berketerampilan serta mampu untuk menyelesaikan setiap permasalahan dengan rasional dan kreatif. Selain itu, kurikulum ini juga mampu untuk mewujudkan pelajar yang mampu untuk mengembangkan potensi mereka hingga ke tahap yang lebih tinggi.

 

POLA REKA BENTUK KURIKULUM

 


         Untuk memastikan kurikulum yang sistematik dapat dijalankan, empat Pola Reka bentuk Kurikulum dirangka untuk merealisasikan inspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pola reka bentuk tersebut ialah Kurikulum Sebagai Perancangan, Kurikulum Sebagai Objektif, Kurikulum Sebagai Proses dan akhirnya Kurikulum Sebagai Hasil.

         Pola pertama yang akan dibincangkan ialah Kurikulum Sebagai Perancangan. Hal ini bermakna, sebelum sesi kelas dimulakan, pengajar perlulah merancang dengan rapi proses pembelajaran dan menyediakan bahan pengajaran yang sesuai. Setiap pendidik telahpun dibekalkan dengan rangka asas proses pembelajaran oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Pendidik harus mentafsir, dan menerjemahkannya berlandaskan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP). Rancangan pengajaran juga harus dilakukan berdasarkan topik – topik di dalam silibus serta objektif bagi setiap topik tersebut. Antara contoh rancangan pengajaran yangs selalu digunakan oleh pendidik adalah Rancangan Pengajaran Tahunan (RPT) dan Rancangan Pengajaran Harian (RPH).

         Selain itu, Kurikulum Sebagai Objektif juga adalah salah satu pola Reka bentuk Kurikulum.  Objektif proses pembelajaran yang ditetapkan mestilah selari dengan keperluan pelajar serta komuniti dan pendapat pakar dalam bidang berkenaan yang didasari oleh falsafah dan matlamat Pendidikan. Misalnya, sasaran setiap mata pelajaran berdasarkan topik – topik yang terkandung di mata pelajaran tersebut.

         Seterusnya, Pola Reka bentuk Kurikulum Sebagai Proses yang membawa makna bahawa tenaga pengajar perlu berinteraksi dengan murid, bahan pengajaran dan pengetahuan yang diperoleh. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PDP), pendidik perlu menggunakan semaksima yang mungkin setiap bahan pengajaran terutamatnya sekali teknologi rangkaian data agar perkembangan minda pelajar dapat dioptimumkan. Proses PDP yang berkesan mampu mewujudkan pelajar yang berfikiran di luar kotak serta mempunyai ilmu pengetahuan yang sangat luas berkenaan setiap topik yang dipelajari.

         Pola Reka bentuk yang terakhir adalah Kurkulum Sebagai Hasil yang membawa makna kurikulum yang dijalankan dapat melahirkan manusia yang seimbang dari jasmani, emosi, rohani dan intelek serta mampu untuk membantu negara mencapai aspirasi yang telah dirancang. Keberhasilan pembelajaran ini adalah meliputi dari setiap aspek termasuklah afektik, kognitif dan psikomotor.





Comments

Popular posts from this blog